Header FB

insert_pixel_code_here

Code Pixel FB

Penggunaan Matematik Dalam Ekonomi

Penggunaan Matematik Dalam Ekonomi

Matematik memainkan fungsi penting alam bidang ekonomi. Penelitian struktur program sarjana muda dan ijazah lanjutan dalam bidang ekonomi, dan penulisan tesis oleh calon ijazah lanjutan, dan hasil penyelidikan ahli akademik menunjukkan peningkatan yang nyata dalam pengungkapan menggunakan matematik (termasuk statistik dan ekonometrik).

Laporan ekonomi seperti yang diterbitkan oleh Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia, institut penyelidikan seperti Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), dan bahagian ekonomi akhbar utama, mengandaikan kecelikan matematik dan statistik yang baik untuk seseorang itu memahami analisis ekonomi yang terkandung di dalamnya. Keputusan yang dibuat dalam pasaran modal, saham dan kewangan banyak berasaskan kepada model matematik.

Di sektor swasta, pengurus firma perlu tahu menggunakan pendekatan matematik untuk merancang strategi firma yang bermatlamatkan keuntungan, seperti strategi memaksimumkan jumlah hasil dan meminimumkan jumlah kos tertakluk kepada batasan tertentu seperti harga input, harga output dan kuantiti input yang ditetapkan. Kenyataan tersebut menunjukkan seseorang yang ingin memahami penyelesaian masalah ekonomi memerlukan pemahaman teknik matematik yang bersesuaian.

Di kalangan pembuat dasar negara pula, terdapat beberapa alasan yang menyokong kepentingan menggunakan kaedah matematik untuk tujuan perancangan. Pertama, model ekonomi berguna kepada pembuat dasar yang berkaitan dengan pengurusan makroekonomi yang mempunyai objektif seperti pertumbuhan ekonomi, kestabilan harga, guna tenaga penuh dan keseimbangan imbangan pembayaran. Misalnya, terdapat banyak faktor yang mempengaruhi pertumbuhan ekonomi, dan faktor itu lebih mudah diteliti jika dirangkumkan ke dalam satu kumpulan, dan dikenalpasti faktor mana yang paling kuat mempengaruhi pertumbuhan ekonomi.

Kedua, model struktur ekonomi boleh memberikan gambaran kasar mengenai potensi ekonomi untuk mencapai matlamat pembangunan jangka panjang seperti pertumbuhan pendapatan, pengwujudan peluang pekerjaan, pengagihan pendapatan dan pembasmian kemiskinan. Model yang dibentuk juga membantu menerangkan kesan yang berlaku dari pelbagai strategi alternatif yang dipilih.

Ketiga, model analisis kos faedah (benefit cost analysis, BCA) yang banyak digunakan oleh pembuat dasar banyak membantu kerajaan dalam membuat keputusan tepat pemilihan pelaburan awam yang memberikan pulangan ekonomi yang optimum.

Pada masa kini penumpuan yang lebih perlu diberikan untuk meningkatkan kemahiran asas matematik di kalangan para pelajar. Pada masa yang sama, teknik pengajaran matapelajaran matematik dikalangan para pendidik perlu diperbaiki untuk menjadikan subjek matematik lebih menarik. Pelajar yang mempunyai asas matematik yang kukuh tentunya lebih berkemampuan menghadapi cabaran di lapangan pekerjaan yang semakin mencabar pada masa kini.

Sebagai kesimpulan, matematik memupuk dan melatih seseorang mempunyai keupayaan analitikal yang baik. Justeru itu, bagi membolehkan universiti melahirkan siswazah ekonomi yang bermutu, yang bakal menjadi penggubal dasar, penganalisis dan perancang ekonomi yang berkesan sama ada disektor kerajaan, swasta atau bekerja sendiri, kandungan dan pendedahan pelajar kepada matematik, statistik dan ekonometrik perlu dipertingkatkan.



SUMBER : http://jamal7478.blogspot.my/2008/07/penggunaan-matematik-dalam-ekonomi.html

No comments:

Post a Comment

Kenapa Perlu Belajar Matematik & Apakah Keistimewaannya

Dalam sesuatu pengajian, diperingkat Sekolah, kita di dedahkan dengan pelbagai ilmu berguna kita belajar. Ada bidang Sains, Saster...