PENGENALAN
Seseorang insan telah mula
belajar sejak lahir. Bayi yang baru lahir mewarisi pelbagai bentuk gerakan
pantulan misalnya apabila sesuatu objek menyentuh bibirnya, bayi terus
menghisap objek tersebut tanpa diajar kepadanya. Hal ini bererti wujud satu
atur cara genetik semula jadi dalam diri bayi untuk menyerapkan kewujudan
sesuatu objek. Sehari demi sehari, maklumat dalam ingatan bayi semakin
bertambah selaras dengan peningkatan fizikalnya daripada seorang bayi ke dunia
kanak-kanak seterusnya menjadi orang dewasa. Maklumat-maklumat yang diterima
akan dipecahkan menjadi pengetahuan dan memperkembangkan keupayaan kognitifnya.
Mengikut Mohd Daud Hamzah
(1996), kanak-kanak mempelajari pelajaran matematik melalui kegiatan harian
tertentu. Terdapat beberapa aktiviti yang dapat membantu kanak-kanak
memperolehi konsep-konsep awal matematik seperti aktiviti padanan (matching),
penjenisan (sorting), reguan (pairing) dan susunan aturan (ordering).
Padanan adalah
kegiatan memilih sifat tertentu dan membuat perbandingan.Penjenisan ialah
kegiatan memilih sifat umum di kalangan bentuk-bentuk. Reguanpula
merupakan kegiatan menyatakan keselarian objek-objek secara satu lawan satu.
Manakala susunan aturan ialah kegiatan meletakkan perkara sepanjang
satu barisan.
Di samping itu, terdapat
juga beberapa teori daripada pakar-pakar pembelajaran bagaimana kanak-kanak
mempelajari matematik dan jenis matematik yang boleh dipelajari pada peringkat
yang berbeza dalam perkembangan kognitifnya. Antara teori tersebut ialah
teori kognitif dan teoriperkembangan kognitif yang dihasilkan oleh Jean Piaget,
teori pembelajaran Bruner dan juga teori perkembangan Vygotsky.
Teori-teori ini banyak menceritakan mengenaibagaimana kanak-kanak dapat
mempelajari matematik sedari usia awal kanak-kanak.
TEORI PIAGET
Teori Piaget juga dikenali
Teori Perkembangan Kognitif Piaget telah mendapat perhatian meluas dalam bidang
Psikologi sejak kajiannya dikemukakan. Kajian ini dapat menerangkan
peringkat-peringkat perkembangan kognitif kanak-kanak dan proses pemikiran
berasaskan perkembangan skema. Bagaimanapun, teori dan kajiannya tetap menerima
kritikan teutama berkaitan kelemahan teori dan metodologi yang digunakan.
Teori Piaget telah
diperkenalkan oleh Jean Piaget yang berasal dari Switzerland . Beliau merupakan ahli psikologi yang banyak
menyumbang kepada pemahaman bagaimana kanak-kanak belajar. Dari kajian dan
permerhatian, Piaget mendapati bahawa perkembangan kognitif kanak-kanak berbeza
dan berubah melalui 4 peringkat iaitu peringkat deria motor (0 – 2 tahun),
pra-operasi ( 2 – 7 tahun), operasi konkrit (7 – 11 tahun) dan operasi formal (
11 tahun ke dewasa).
Menurut Jere Confrey
(1999), “ Piagetian theory kindled my intense enjoyment of children and deep
respect for their capabilities.”
Dalam teori kognitif ini,
Piaget menyatakan juga kanak-kanak mempelajari
matematik melalui empat konsep utama iaitu skema, penyerapan, pengubahsuaian
dan keseimbangan. Walau bagaimanapun, dalam pembelajaran matematik kanak-kanakhanya
dikaitkan dengan tiga konsep iaitu penyerapan, pengubahsuaian dan keseimbangan.Konsep-konsep
ini melibatkan perubahan dalam pemikiran kanak-kanak mengenai pembelajaran
sesuatu konsep dalam mempelajari asas matematik. Sekiranya konsep matematik
dapat diajar dengan betul daripada peringkat awal, maka kanak-kanak akan terus mengekalkan
konsep yang mereka pelajari pada awal umur sehingga mereka dewasa.
Kita sebagai guru
matematik sekolah rendah seharusnya memberi tumpuan terhadap perkembangan
kanak-kanak pada peringkat operasi konkrit. Pada peringkat usia sebegini,
kanak-kanak hanya boleh memahami konsep matematik melalui pengalaman konkrit.
Maka, bahan bantu mengajar dapat membantu murid-murid memahami konsep matematik
yang bakal diajar. Paiget berpendapat bahawa asas sesuatu pembelajaran ialah
aktiviti kanak-kanak itu sendiri. Beliau juga menegaskan bahawa kepentingan
interaksi idea-idea antara kanak-kanak tersebut dengan kawan-kawan sejawatnnya
mustahak dalam perkembangan mental seseorang.
TEORI BRUNER
Seorang ahli psikologi
yang terkenal iaitu Jerome Bruner telah banyak menyumbang dalam penulisan teori
pembelajaran, proses pengajaran dan falsafah pendidikan. Bruner bersetuju
dengan Piaget bahawa perkembangan kognitif kanak-kanak adalah melalui
peringkat-peringkat tertentu. Walau bagaimanapun, Bruner lebih menegaskan
pembelajaran secara penemuan iaitu mengolah apa yang diketahui pelajar itu
kepada satu corak dalam keadaan baru (lebih kepada prinsip konstruktivisme).
Melaui teori ini, Bruner menyatakan
bahawa kanak-kanak mempunyai tiga cara untuk mencapai kefahaman mereka dalam
mempelajari matematik iaitu melalui perwakilan enaktif, ikonik dan simbolik.
Peringkat enaktif ialah peringkat bagi kanak-kanak membuat manipulasi
pengajaran secara langsung dan aktiviti yang dilakukan oleh kanak-kanak
adalah berdasarkan pergerakan tubuh badan mereka sendiri. Contohnya,
kanak-kanak mempelajari mengenai jarak jauh dan dekat melalui aktiviti
berlari dalam dua jarak yang berbeza iaitu jarak jauh dan jarak yang
dekat. Dalam peringkat ikonik pula, kanak-kanak akan menunjukkan bahawa mereka berupaya
untuk belajar dengan menggabungkan penggunaan mental mereka dengan imej. Sebagai
contoh, kanak-kanak dapat menggunakan simbol (+) bagi mewakili operasi tambah
yang dilakukan dalam pembelajaran matematik. Seseorang kanak-kanak juga boleh
menukarkan ayat penyelesaian masalah kepada ayat matematik yang melibatkan simbol
operasi sama ada penambahan atau penolakan. Peringkat simbolik pula menyatakan
bahawa kanak-kanak berupaya membuat manipulasi mengenai simbol-simbol
dalam operas imatematik dan berkeupayaan untuk memahami konsep abstrak. Ini
dapat dibuktikan melalui penggunaan kad nombor dalam pengajaran matematik
kanak-kanak. Hal ini menunjukkan kanak-kanak sudah boleh membayangkan
simbol nombor yang mereka pelajari.
Bruner juga percaya bahawa
kanak-kanak lebih dimotivasikan oleh masalah yang menarik yang tidak mampu
diselesaikan oleh mereka dengan mudah seandainya tidak dapat menguasai isi
kandungan mata pelajaran dan kemahiran tertentu.
Teori Perkembangan
Kognitif Lev Vygotsky
Lev Vygotsky (1896-1934)
memberi alternatif kepada idea Piaget tentang perkembangan kognitif kanak-kanak
yang menekankan peranan sosial dan budaya dalam perkembangan minda kanak-kanak.
Menurut Vygotsky, dua
faktor utama dalam perkembangan kognitif kanak-kanak ialah interaksi sosial dan
kemahiran berbahasa. Beliau menyatakan bahawa pemikiran kanak-kanak berkembang
akibat dari pergaulan dengan orang lain. Pergaulan dan interaksi yang bermakna
ini selalunya berlaku antara kanak-kanak dengan individu yang lebih
berpengetahuan daripadanya. Menurut Vygotsky lagi, kanak-kanak belajar dari apa
yang dipraktikkan. Bagi Vygotsky, kanak-kanak tidak dapat membina
pengetahuannya sendiri tentang persekitaran sebaliknya harus dibina melalui
interaksi sosial dengan individu-individu yang berada di persekitarannya
contohnya ibu bapa, guru, adik-beradik, keluarga terdekat dan rakan sebaya
mereka. Individu-individu ini akan bertindak memberi arahan, maklum balas dan
membimbing komunikasi kanak-kanak. Kanak-kanak lalu akan menggunakan
maklumat-maklumat ini di dalam interaksi-interaksi yang lain iaitu mungkin
semasa bermain atau apabila berdepan dengan situasi yang hampir sama di masa
akan datang.
Zon Perkembangan Proksimal
Kepentingan interaksi di
dalam perkembangan kognitif kanak-kanak digambarkan oleh Vygotsky dalam komsep
Zon Perkembangan Proksimal. Ia merupakan istilah yang digunakan oleh Vygotsky
untuk menjelaskan bagaimana kemahiran-kemahiran yang sukar dilakukan oleh kanak-kanak
boleh dilakukan dengan bantuan dan bimbingan orang-orang dewasa atau rakan
sebaya yang lebih mahir.
Had Atas iaitu peringkat
kemahiran kanak-kanak yang boleh dicapai dengan bantuan individu yang lebih
mahir.
Had Bawah pula ialah kemahiran
yang boleh dicapai sendiri oleh kanak-kanak.
KANAK-KANAK BELAJAR
MATEMATIK
Setelah menelitikan
teori-teori yang digariskan oleh Piaget, Bruner dan Vygotsky, kita dapat
melihatkan ia berkaitan dengan konsep konstruktivisme. Konstruktisvisme
merupakan satu teori mengenai pengetahuan dan pembelajaran yang menarik minat,
memotivasikan serta memudahkan pemahaman murid-murid. Tambahan pula,
konstruktivisme menyarankan kanak-kanak membina pengetahuan secara aktif
berdasarkan pengetahuan sedia ada kanak-kanak. Pembinaan pengetahuan tersebut
boleh dihasilkan melalui permainan dan eksperimen yang dilakukan di samping
pembelajaran koperatif. Apabila kanak-kanak bekerjasama, mereka berkongsi dalam
proses pembinaan idea. Secara tidak langsung, kanak-kanak tersebut dapat membina
pengetahuan baru hasil daripada pembelajaran secara kendiri.
Dalam pendekatan
konstruktivisme ini juga, persekitaran pembelajaran berpusatkan kanak-kanak
menjadi asas yang penting dan guru yang bertindak sebagai fasilitator.
Kanak-kanak juga didorong untuk mengemukakan idea dan teori bagi menyelesaikan
masalah. Dalam pendidikan matematik, kanak-kanak biasanya akan diajar dengan
menggunakan benda-benda konkrit supaya mereka memperolehi pengalaman yang akan
digunakan untuk dikaitkan dengan pembelajaran matematik yang bakal dipelajari.
Justeru itu, kanak-kanak
belajar matematik melalui pengalaman dan pengamatan sesuatu perkara.
Kanak-kanak juga dapat meningkatkan pemikiran dengan menghasilkan konsep baru.
Ini bermakna pengetahuan boleh dianggap sebagai koleksi konsep-konsep dan
tindakan-tindakan berguna berpandukan kepada keadaan dan masa yang diperlukan.
PENUTUP
Secara kesimpulannya,
kanak-kanak ibarat bekas yang kosong dan guru pula berperanan untuk
memenuhi bekas tersebut dengan ilmu pengetahuan. Para pendidik juga berperanan untuk membimbing kanak-kanak untuk
menghadapi cabaran pada masa hadapan. Kanak-kanak belajar melalui pengalaman
dan membentuk ilmu pengetahuan berdasarkan permainan dan eksperimen dan tidak
bergantung sepenuhnya pada seseorang guru. Guru hanyalah sebaagai seorang
fasilitator yang akan memantau perkembangan kanak-kanak dalam mempelajari
sesuatu konsep.
SUMBER : http://learningzone2012.blogspot.my/2012/12/normal-0-false-false-false-en-us-zh-cn.html
No comments:
Post a Comment